Kisah aku:
Selama ini aku megah bila berkata yang aku sayangkan ibu, ayah dan adik-adikku. Sehinggalah aku terbaca tentang suatu artikel yang bertajuk 'Air tangan orang meninggalkan solat'. Ketika itu, aku rasakan kerdilnya sayang aku kepada mereka. Apalah guna sayang jika aku tidak menjaga tingkahku, agamaku, solatku. Apalah erti sayang jika dosa-dosaku di tanggung dan mengheret ayah dan adik-adik lelakiku ke pintu neraka. Bukankah itu pentingkan diri?
Satu hal yang membuat aku terdetik ingin bertaubat, apabila doa yang aku panjatkan kepada-NYA benar-benar termakbul. Percaya atau tidak itulah pertama kali aku memanjat syukur dan menangis dalam doaku.
Bukan selama ini aku tidak pernah terdetik untuk bertaubat. Bukan selama ini aku tidak pernah mahu menjaga solat dan pemakaianku. Tapi aku cuma insan biasa, yang sentiasa lemah dengan godaan dan dugaan.
Di siang hari aku nampak tenang dan ceria. Tapi bila malam menjelang, bila mengimbas kembali perjalanan hidupku seharian, entah mengapa aku menangis. Menangis tanpa sebab. Menangis kerana kebuntuan yang meresahkan hati. Entah. Ketika itu belum lagi ku temukan jawapannya. Tapi aku yakin aku sedang sakit. Sakit dengan jiwa. Jadi, bila sakit perlulah dicari ubatnya.
Aku tahu, aku tidak boleh terus duduk menangisi segalanya tanpa perlu berusaha. Kadang-kadang Allah akan beri hidayah kepada mereka yang diingini-Nya. Dan kadang-kadang kita sendiri perlu mencari hidayah-Nya.
Alhamdulillah, Ramadhan lepas adalah bukti yang iman aku masih ada walau ia mungkin hanya cebisan-cebisan kecil. Dan mungkin juga ini doa-doa orang-orang menyayangi aku yang inginkan aku berubah.
Perubahan ini bukanlah perubahan yang drastik dan terlalu sempurna. Aku mulakan dengan menjaga solatku dan pemakaianku. Dan Alhamdulillah, terasa tenang hati aku. Panas baranku? Sudah boleh di kawal walaupun tidak begitu sempurna. Insyaallah, aku akan terus berusaha mencari hidayah dan menbina kembali iman ku. Amin.