Thursday, October 11, 2012
Perkara sunat dilakukan pada hari Jumaat
Hari Jumaat, penghulu segala hari menjanjikan berbagai-bagai pahala sunat. Marilah kita, semasa peluang masih ada, rebut pahala-pahala ini.
1. Mandi
Bagi kita di Malaysia dan penduduk negara lain yang mempunyai cuaca serupa, mandi ialah suatu rutin hidup. Namun, mandi boleh menjadi amal soleh jika kita meniatkannya semata-mata kerana Alah s.w.t. Contohnya ialah mandi pada hari Jumaat dengan maksud mematuhi galakan Rasulullah s.a.w selaras dengan sabda baginda yang bermaksud, "Apabila datang kepada kamu hari Jumaat, maka mandilah." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
2. Menghias diri, memakai pakaian yang baik dan memakai wangi-wangian
Hari Jumaat umpama hari raya untuk minggu tersebut. Justeru, kita disunatkan menghias diri dengan kadar yang dibenarkan oleh syarak dengan memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang telah ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
Sekiranya kita mampu pakailah baju berwarna putih pada hari Jumaat sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya ia adalah pakaian kamu yang paling baik dan kafankanlah orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu dengannya."
3. Memotong kuku
Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu hari-hari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama. Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.
4. Membaca Surah al-Kahfi
Sunat membaca Surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan." (Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Sabda Rasulullah s.a.w lain yang bermaksud, "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antaranya dan Baitul `Atiq." (Riwayat Al-Baihaqi)
5. Memperbanyak doa
Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita, di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita. Sehubungan itu, kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t untuk menghadapi segala ujian ini. Antaranya dengan cara berdoa.
Kita digalakkan untuk banyak berdoa, apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa. Di antara hadis Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini ialah sabda baginda yang bermaksud, "Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat." (Riwayat Muslim).
6. Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Pada hari Jumaat, kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda yang bermaksud, "Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku."
sumber
~Cebisan Imanku~
Kisah aku:
Selama ini aku megah bila berkata yang aku sayangkan ibu, ayah dan adik-adikku. Sehinggalah aku terbaca tentang suatu artikel yang bertajuk 'Air tangan orang meninggalkan solat'. Ketika itu, aku rasakan kerdilnya sayang aku kepada mereka. Apalah guna sayang jika aku tidak menjaga tingkahku, agamaku, solatku. Apalah erti sayang jika dosa-dosaku di tanggung dan mengheret ayah dan adik-adik lelakiku ke pintu neraka. Bukankah itu pentingkan diri?
Satu hal yang membuat aku terdetik ingin bertaubat, apabila doa yang aku panjatkan kepada-NYA benar-benar termakbul. Percaya atau tidak itulah pertama kali aku memanjat syukur dan menangis dalam doaku.
Bukan selama ini aku tidak pernah terdetik untuk bertaubat. Bukan selama ini aku tidak pernah mahu menjaga solat dan pemakaianku. Tapi aku cuma insan biasa, yang sentiasa lemah dengan godaan dan dugaan.
Di siang hari aku nampak tenang dan ceria. Tapi bila malam menjelang, bila mengimbas kembali perjalanan hidupku seharian, entah mengapa aku menangis. Menangis tanpa sebab. Menangis kerana kebuntuan yang meresahkan hati. Entah. Ketika itu belum lagi ku temukan jawapannya. Tapi aku yakin aku sedang sakit. Sakit dengan jiwa. Jadi, bila sakit perlulah dicari ubatnya.
Aku tahu, aku tidak boleh terus duduk menangisi segalanya tanpa perlu berusaha. Kadang-kadang Allah akan beri hidayah kepada mereka yang diingini-Nya. Dan kadang-kadang kita sendiri perlu mencari hidayah-Nya.
Alhamdulillah, Ramadhan lepas adalah bukti yang iman aku masih ada walau ia mungkin hanya cebisan-cebisan kecil. Dan mungkin juga ini doa-doa orang-orang menyayangi aku yang inginkan aku berubah.
Perubahan ini bukanlah perubahan yang drastik dan terlalu sempurna. Aku mulakan dengan menjaga solatku dan pemakaianku. Dan Alhamdulillah, terasa tenang hati aku. Panas baranku? Sudah boleh di kawal walaupun tidak begitu sempurna. Insyaallah, aku akan terus berusaha mencari hidayah dan menbina kembali iman ku. Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)